Sudah enam bulan berlalu.
Tak pernah ku duga.
Dia berdiri di hadapan mataku. Selama ini, dia cuma muncul
di alam mimpi. Tapi, hari ini tidak lagi. Sedang menantiku di parkir tempatku
bekerja. Aku baru saja habis lunch. Usai solat Zohor. Menerima sms ringkas
darinya. Dah berbulan lamanya tidak ada sebarang khabar berita. Tiba-tiba, hari
ini menjelma dengan tuannya sekali.
Katanya sudah di tempat kerjaku. Nak jumpa. Penting.
Aku sedikit gelisah. Namun, ku hayunkan jua langkahku
mendekatinya. Hati sedikit berdebar. Belum sempat ku sapanya, ku lihat ada
manik-manik air mata telah menitis di pipinya.
"Bawa aku lari...tolong... Kita nikah!"
Suaranya serak menahan sebak. Namun, mesejnya jelas.
Tergamam seketika. Aku terus mengajaknya masuk ke dalam
kereta. Mesej bos, keluar seketika ada emergency. Ku hidupkan enjin kereta.
Terus meluncur ke jalanan. Entah ke mana arah hendak dituju. Aku sendiri pun
tak pasti.
Yang berada di sebelahku ini, statusnya bukan bujang. Tapi,
isteri orang. Ya, bini orang. Milik orang lain. Ada suami. Dah kahwin. Makna
yang sama. Wanita ini, yang dulunya pernah menjadi teman wanitaku. Aku teman
lelaki terakhirnya sebelum dia bernikah.
Kenapa bukan aku yang jadi suaminya? Kenapa lelaki lain?
Alasan paling konkrit manusia selalu sebut. 'Bukan jodoh.
Tak ada jodoh.' Namun, cerita di sebaliknya, cinta kami terhalang oleh
keluarga. Bukan kerana aku tak baik. Bukan kerana dia tak baik. Tapi, kerana
keluarganya merasakan ada yang lebih baik untuk anak mereka. Jika aku berada di
tempat ibu dan bapanya sekalipun, pasti enggan melepaskan anak sendiri nikah
dengan lelaki yang tiada jaminan hidup.
Aku hanya pekerja kontrak. Senang cerita, tidak berjawatan
tetap. Betapa besarnya erti jawatan tetap dan berpencen pada mata ibu bapa
zaman sekarang. Dulu pun. Jawatan tetap tu bukan tak mampu dapat, tapi perlukan
lagi beberapa tahun. Makan masa sikit. Bukan tidak ada gaji. Tapi, gajiku
tidaklah setaraf orang lain. Gaji yang cukup makan untuk orang bujang saja.
Untuk hidup berkeluarga, tidak sesuai. Bagi aku, ada tapak untuk kerja itupun
sudah cukup bersyukur.
Takdir menemukanku dengan gadis ini. Ku sangkakan dia orang
biasa sepertiku. Tapi, saat pertama kali ke rumahnya untuk bertemu orang
tuanya, terkejut. Pagar rumah saja sudah melepasi kepalaku. Apatah lagi
rumahnya yang seperti mahligai. Malahan, baru ku tahu dia anak tunggal
perempuan. Darjat kami berbeza. Cara hidup berlainan. Status ibu bapaku dan ibu
bapanya juga macam bumi dan langit. Ibu bapaku cuma orang kampung. Ibu bapanya
kerja kerajaan, bergaji besar.
Pada mulanya, semua baik. Direstui keluarganya. Lalu, aku
meminta tempoh. Supaya aku dapat bersedia, kumpul duit nikah. Malahan, ibu
bapaku merasa tebal muka untuk bertandang ke rumah pihak perempuan dalam
keadaan aku tidak bersedia dari segi kewangan. Masakan mahu meminang anak dara
orang dengan tangan kosong. Biasalah. Ibu bapa mana yang tidak mementingkan
maruah. Semua orang fikir tentang maruah keluarga. Air muka yang perlu dijaga.
Kaya dan miskin, sama saja.
Masa berlalu. Berbulan-bulan. Namun, tabunganku tetap juga
tidak banyak. Hingga aku mula mengambil langkah berkira-kira untuk buat
personal loan. Keluarganya mula mendesak, agar dihantar rombongan dengan
segera. Kata mereka, ramai yang nak masuk meminang anak mereka. Aku mulai rasa
tekanan yang hebat. Mana mahu cekup duit beribu-ribu dalam masa singkat? Hingga
saatnya aku betul-betul down. Akhirnya, buntu jalan.
Tapi, apakan daya. Tuhan penentu segalanya.
Di saat aku kebuntuan, aku dikejutkan dengan berita yang
memeritkan hati. Orang yang aku sayang ditunangkan dengan lelaki lain! Tanpa
dimaklum sedikit pun padaku. Aku tahu-tahu, semua dah selesai. Aku tanya si
dia, kenapa terima? Dia kata kerana aku lambat, banyak sangat alasan nak bawa
rombongan datang segera. Mak ayah dia dah bising. Dia tertekan sama.
Kemuncaknya, mak dia sendiri contact. Marah aku. Jangan
hubungi lagi anaknya. Kata bondanya, dah beri sejuta peluang, aku yang
sia-siakan. Aku dan keluargaku yang salah. Semua kesalahan dicampakkan ke
mukaku. Semua penyesalan dilontarkan kepadaku.
Akhirnya aku meniti hari-hari penuh luka hinggalah dia
bernikah. Bukan orang lain, dengan saudara-maranya sendiri. Hancur hatiku.
Segala kenangan silam. Bagaikan baru berlaku semalam.
"Kau datang dengan apa ni?"
Aku memulakan perbualan.
"Naik teksi."
Huh. Dari KL ke Perak. Bukannya dekat.
"Apa dah jadi sebenarnya?"
Dia menangis-nangis.
"Aku tak boleh hidup dengan suami. Aku tak boleh! Aku
dah cuba banyak kali, tapi hati ini. Hati ini sikit pun tak berjaya menyintai.
Dari bulan pertama, sampailah semalam. Aku gaduh besar semalam. Dia marah aku.
Dia marah sebab tak rasa pun aku cinta dia. Dah memang tak cinta, memanglah tak
rasa. Aku tak mampu nak berpura-pura lagi. Tak boleh!
Aku boleh sayang dia sebagai suami, tapi tak boleh cinta.
Sebab, cinta aku hanya untuk kau!"
Dia menoleh ke arahku. Dengan hamburan air mata.
Bagai tercabut jantungku. Dah lama tidak ku dengar ungkapan
keramat tu. Dalam hati bercampur baur. Antara gembira dan sedih. Antara terluka
dan teruja.
Ku pecut kereta. Entah destinasi ke mana. Dah pun keluar
dari daerah tempat ku kerja. Fikiran tidak keruan seketika.
"Tapi, kau lupakah, kau sendiri yang terima risikan
keluarganya? Lupakah, kau sendiri yang mengiyakan proses pertunangan? Lupakah,
kau mengizinkan dan menerima sehingga hari akad nikah?
Kau lupakah, aku yang ketika itu sedang berusaha sedaya
upaya untuk cari duit nikah kita, tapi terima perkhabaran kau sudah dipinang
orang, sampai pergi melutut depan kau. Suruh terima aku kembali?
Kau lupakah, sedikit pun tidak kau bersungguh untuk fight
back demi cinta kita? Padahal keputusan di tangan kau ketika itu. Kau yang nak
kahwin, bukan keluarga kau!
Kau lupakah, aku yang dimarah dan dihina oleh keluarga kau
sebab terhegeh-hegeh nak kau balik?!
Memang aku ada buat salah sampai kau berubah hati, tapi
besar sangatkah salah tu sampai nak hukum aku seberat-beratnya? Hukum dengan
penyesalan seumur hidup? Hukum dengan perpisahan selama-lamanya antara
kita?"
Ah. Teruk. Aku berkata-kata spontan penuh emosi. Air mata
mengalir sendiri. Sudah terlalu lama ianya membekam di hati. Marah dan geram
bercampur baur.
Aku memberhentikan kereta di tepi jalan. Berhampiran dengan
taman tasik. Tak dapat drive. Mata dah kabur diselangi air mata yang bergenang.
Aku dan dia sama-sama menangis.
Aku keluar dari kereta. Berjalan ke arah tasik. Dia menuruti
langkahku. Bila betul-betul depan tasik, aku berhenti.
"Aku hantarkan kau balik ke rumah suami kau."
Dia menggelengkan kepalanya.
"Tak nak! Aku tak nak balik! Nak hidup dengan
kau!"
Dia mencapai tanganku. Aku tergamam. Perlahan-lahan, ku
tarik lembut tanganku dari genggamannya.
"Kisah kita..dah berakhir…"
Dia tersentak.
“Kau dah ada perempuan lain?!”
Aku menggeleng.
"Di saat kau terima pinangannya dulu, kau dah campak
aku jauh-jauh dari hidup kau sampai bila-bila. Kau tahu tak, betapa sukarnya
aku kena survive di kala kau berbahagia dengan hidup baru?
Di saat kau bergembira buat persiapan nikah, pilih baju
nikah, tempah itu dan ini, aku pula melawan hati rabak sendirian. Selama tiga
bulan, tiada satu hari pun berlalu tanpa air mata.
Aku cuba bangkit kembali, tapi demi Allah aku tidak kuat.
Tapi kerana Allah, aku harus kuat. Apa yang aku buat, aku cari Dia. Selama kita
bersama, aku alpa. Aku jauh dari Dia. Akhirnya, air mata ini tumpah jua di
sejadah. Tak mampu tuturkan sepatah perkataan pun waktu berdoa. Sedih
terlampau."
Dalam hati mengakui, andai Tuhan tiada di sisi, aku dah lama
mati. Andai ku gadaikan agama ini, sudah lama iman ini mati. Pasti sudah lama
aku bunuh diri. Kerana kecundang patah hati!
Tuhan mengambil sesuatu yang aku sayang, kerana Dia lebih
tahu cerita masa depan. Dia lebih tahu, apa yang diriku tidak tahu. Dia cuba
meluruskan diri ini kembali.
Ku lihat dirinya menangis dan menangis.
Tak lama di tasik, aku mengajaknya ke suatu tempat. Drive
kembali dalam keadaan dirinya sugul dan isak tangis belum ada tanda mahu
berhenti.
Sampai di satu perumahan. Berhenti betul-betul dalam pagar
sebuah rumah kecil.
"Ni, rumah yang aku beli. Buat pinjaman bank. Yang aku
cari untuk kita hidup bersama dulu."
Dia sedikit terkejut. Aku keluar dari kereta. Dia
menurutiku. Ku buka pintu rumah yang berkunci. Biarkan saja ia terbuka.
“Jangan risau, aku tak masuk sama. Kau masuklah. Tengoklah
sendiri. Aku tunggu di luar.”
Dia masuk rumahku itu dengan berhati-hati. Langkah saja,
sudah terlihat namaku dan namanya disatukan dalam frame yang tergantung di
ruang tamu. Hadiah-hadiah yang diberikannya dulu, kemas tersimpan di meja ruang
tamu.
Melangkah ke bilik tidur. Di situ, telah siap katil
pengantin. Tidak terusik. Namun, nampak seperti dikemaskan setiap hari. Memang
aku kemaskan bila ada masa. Di dinding pula, tergantung sepasang baju tunang
yang aku siapkan untuk diriku. Tidak ku pakai. Di meja sebelah katil, ada
sebuah diari. Yang aku tuliskan untuknya selama aku bersamanya.
Dia membeleknya. Helaian demi helaian. Air matanya gugur
lagi. Tak sangka. Setiap apa yang dia sebut, aku catatkan. Setiap bait katanya
dulu, aku titipkan semula ke dalam diari. Setiap harapan, setiap impian, setiap
mesej hatta perbualan dalam Whatsapp aku salinkan ke dalam diari. Sungguh.
Diari itu adalah tempat aku curahkan segala perasaanku kepadanya. Cuma, tiada
berkesempatan untuk diserahkan pada tuannya. Akhirnya, diari itu usang.
Di belakang kulit diari, ada sepasang cincin tersemat. Cincin
murah saja. Untuk pertunangan kami kononnya dulu.
Dia berlari keluar ke arahku. Dengan titisan air mata di
pipinya. Nampak seperti ingin memelukku. Lantas ku meminggir sedikit. Mengelak.
Enggan.
“Aku minta maaf. Hanya rumah kecil ini yang aku mampu sediakan
untuk kau dulu. Ini pun, tak lama lagi akan aku biarkan saja dilelong bank.
Sebab, bila diingat dan dikenang, semua ni buat aku sedih.
Mari, aku hantarkan kau balik.”
Aku mengunci pintu rumah, berjalan semula ke kereta. Namun,
ditahannya aku dari masuk kereta.
“Kau dengarlah dulu penjelasan aku. Please!”
Aku diam. Berpeluk tubuh.
Dalam hati, rapuh.
Aku lihat dia bersungguh-sungguh. Aku lihat dia masih cantik
seperti dulu. Sayang, bukan milik aku.
“Siapa kata nikah kerana suruhan keluarga, aturan famili ni
boleh bahagia? Mungkin ada yang bahagia, tapi tak semua! Ada saja yang tak
bahagia.
Aku antaranya. Aku mangsanya!
Orang kata, nikah kerana taat kepada ibu bapa ni dapat restu
keluarga. Berkat. Restu, restu dan restu. Itulah yang orang pandai cakap.
Tapi, hati ni. Hati ni tak restu dan tak reda pun! Kau faham
tak?!
Meski jasad aku ini milik suami, sah milik dia, tapi hati
aku bukan padanya. Pada kau!
Sekarang, aku tak nak dengar lagi tentang restu keluarga
bagai semua tu. Tak nak! Aku dah lama bosan dengar semua tu. Memang, masa aku
terima dia tu, aku pertimbangkan maruah keluarga. Aku pertimbangkan air muka
orang tua aku dan orang tua suami aku. Aku tak nak malukan mereka. Aku takut.
Aku takut!
Kau tolonglah faham. Aku cuma seorang perempuan yang lemah.
Tanpa daya upaya untuk melawan kehendak orang tua!”
Aku terdiam lama.
Angin petang bertiup menerbangkan ekor-ekor rambutku. Lantas
ku balas ringkas,
“Apa beza malu ketika itu dan malu ketika ini? Kalau kau
lari kepada aku, lari dari suami kau, lari dari keluarga kau dan mentua
kau…bukankah itu semua melibatkan maruah semua orang? Malah, sudah pasti,
hubungan kau dan aku seandainya mahu disambung semula pun tidak akan direstui
keluarga kau.”
Dia tertunduk. Hilang hujah.
“Kau nak jadikan aku watak antagonis lagi? Seperti dulu? Aku
jadi watak jahat, watak ketiga yang hadir di antara kau dan tunang kau ketika
itu?”
Dia tak dapat jawab. Menangis. Diam.
“Pulanglah padanya..”
Kali ni nada suaraku mulai mengendur. Kalau ikutkan hati,
mahu saja aku turutkan kehendaknya, larikan saja. Namun, suara imanku masih
mahu bersuara.
“Mungkin hari ini kau tak cinta suami kau. Doalah. Moga
suatu hari, mungkin setahun dua lagi, kau akan terasa cinta pada suami kau. Kau
belum dapat baby, kau masih terasa bujang. Kau masih tak terasa hidup
berkeluarga secara sempurna.
Nanti bila kau dah hamil, kau akan nampak pengorbanan dan
kebaikan hati suami kau. Dia ada segalanya yang kau mahu dulu. Dia ada rupa,
harta, darjat dan status. Kerjaya yang lumayan. Dialah yang jadi menantu
kesayangan parents kau. Hanya dia. Dialah yang famili kau galaskan seluruh
kepercayaan untuk jaga anak mereka.
Mereka tahu mereka takkan hidup lama. Ya, mak dan ayah kau.
Mereka dah tua. Sekeras apa pun mereka, mereka tetap akan pergi jua suatu hari
nanti. Mereka tahu mereka tak berdaya jaga kau selama-lamanya, sebab itu mereka
nak orang yang boleh jaga anak mereka sama seperti jagaan mereka. Mereka letak
harapan tinggi pada suami kau. Untuk jaga dan sayang kau sepenuh hati.
Bukankah itu yang suami kau tengah buat?
Hidup ini. Perlukan pengorbanan. Waktu sebelum kau kahwin,
kau dah korbankan aku dan cinta kita. Sekarang, sekali lagi kau kena korbankan
cinta kau pada aku. Aku juga begitu.
Berkorbanlah untuk suami dan keluarga kau.
Hidup ni terlalu singkat untuk menikmati. Lepaskanlah aku
dari hati kau. Letakkan Tuhan dalam hati. Andai kau tak mampu menyintai
sekalipun, lakukanlah kerana Dia. Berkat datangnya dari keikhlasan pada Allah.
Restu itu dari Ilahi.
Bukannya keberkatan itu dengan taat membuta tuli pada arahan
ibu bapa. Arahan ibu-bapa kadang-kadang tidak berlandaskan agama pun. Ikut
emosi dan nafsu semata. Unsur paksa sepatutnya tiada pun dalam agama untuk
sesuatu pernikahan. Namun, kau maafkanlah mereka. Mereka cuma nakkan yang
terbaik.
Benda dah berlaku. Apa yang terjadi, biarkan terjadi.
Aku rela. Korbankanlah aku sekali lagi. Korbankan kasih aku
untuk Allah.”
Lutut aku dah goyang. Jatuh terduduk depannya. Sukarnya
meluahkan kata-kata yang aku sendiri pun tak suka. Tak rela. Air mata menitis
laju membasahi pipi. Bodohnya aku. Dalam hati menjerit,
“Aku sayang kau sangat-sangat, bodoh!
Mungkin aku lelaki yang paling bongok dalam dunia ni, tapi
part perasaan dekat kau, aku paling tulus!”
Saat yang sama hati mengakui,
"Mana bisa diikat kaca pada permata. Mana mungkin kasih
berlantaikan hati kita..."
Dia menangis sama.
“Kalau aku ikut cakap kau, aku dapat apa?”
Aku cuba berdiri balik. Cuba ukir senyuman.
“Kau dapat masuk Syurga. Kaulah isteri solehah.
Suami kau bukan sezalim Firaun. Kau tak perlu jadi Asiah,
tapi ambillah semangat Asiah untuk hidup bersama dengan suami. Setia sampai
akhir bersama. Tidak pernah sekali pun dia tinggalkan Firaun. Itu suaminya.
Seburuk-buruk manusia di muka bumi ini, tetaplah suaminya. Pernah dia merasa
dan melalui saat-saat gembira bersama. Sekeras-keras Firaun, lembut hatinya
untuk meraih Nabi Musa a.s. sebagai anak angkat yang sama-sama disayangi. Saat
dipaku Firaun hingga ajalnya, adalah sebagai seorang isteri yang setia.
Ingat, sematkan dalam hati. Tiada lelaki yang lebih baik
dari suami kau. Hatta aku pun tidak boleh jadi sebaik suami kau. Tiada lelaki
lain. Tiada.”
Aku menyuruhnya masuk ke dalam kereta. Hari dah lewat. Aku
harus lekas menghantarnya pulang. Perjalanan bukannya sejam dua.
Dalam kereta. Kami banyak berdiam diri. Masing-masing
memendam rasa. Setengah jam sebelum sampai ke rumahnya, dia bertanyakanku.
“Cinta kita ini bagaimana?”
Aku cuba senyum lagi.
“Cinta ini bukan milik kita. Milik Dia. Hati itu pun sama.
Milik Dia. Serahkan balik cinta itu pada Allah.
Cinta pada aku ni, kau masukkanlah dalam botol, tutup
kemas-kemas, campak saja ke laut. Jangan berpaling lagi.”
Dia tanya lagi,
“Kalau aku sedih juga?”
Aku senyum lagi.
“Tak perlu bersedih lama. Cinta itu milik Allah. Allah lebih
mengetahui segala. Perancangan Dia lebih dulu dari kita. Dia tahu bila dalam
hati kau akan pudar rasa cinta. Dialah yang memudarkan rasa itu. Dia juga yang
cambahkan rasa cinta kau pada suami kau nanti. Semuanya kerja Dia.
Hari ini mungkin kau berjalan dengan tidak cermat dan tidak
berhati-hati. Kau tersilap langkah sehingga buat keputusan terburu-buru seperti
hari ini. Hari ini dan esok, waspadalah jangan terpijak atau memijak onak dan
duri. Jangan kau kutip lagi serpihan kaca. Buka mata, buka mata hati, guna iman
dan takwa. Akhirnya, 'kan kau jumpakan permata.
Permata kau adalah suami kau. Serpihan kaca adalah aku.”
Sampai ke destinasi. Aku menurunkannya jauh sedikit dari
rumahnya. Besar rumahnya. Tak seperti rumahku.
Dia berlalu meninggalkan aku. Ucap salam terakhir padaku.
Mungkin, kami tidak akan bertemu lagi sampai bila-bila. Ah. Bagiku, perpisahan
yang sebenar bukanlah ketika di dunia. Bukan ketika manusia itu mati. Bukan
juga ketika manusia itu dihidupkan kembali. Tetapi, perpisahan sebenar ketika
dua manusia yang menyintai itu berpisah ke dua cabang. Seorang ke Syurga,
seorang ke Neraka. Itulah perpisahan yang paling menyayat hati.
Dalam hati bagai tertusuk sembilu. Pedih gila.
Berlagak cool di luar tidak mampu menyembunyikan rasa sakit
dalam hati. Soalan terakhir sebelum dia keluar kereta tadi,
“Bagaimana kau boleh jadi sangat tabah? Tanpa aku?”
Aku cuma tersenyum. Tak jawab soalan tu. Tabah aku kerana
Tuhan. Rebah aku kerana aku.
Ku pecutkan kereta merentas lebuhraya. Sudah malam. Air mata
berderaian. Lepaskannya kerana terpaksa.
Air mata yang bertakung menyulitkan pandangan mataku. Dadaku
terasa sakit.
Entah bila, keretaku tergelincir ke lorong yang salah.
Melawan arus kenderaan bertali arus. Hon kuat dibunyikan. Bunyi brek tahap
maksima. Ku lihat cahaya lampu tinggi dipancarkan ke keretaku.
Silau...
......
..
.